Assalamualaikum... pada 11-14 jun 2013 yang lalu, Sekretariat Perkim IIUM Gombak telah mengadakan program "HEART TO HEART" yang bertempat di Kampung Tanjung Gahai, Kuala lipis, Pahang. Ini merupakan program anak angkat yang julung kalinya dianjurkan oleh Perkim IIUM. Berikut merupakan serba sedikit perjalanan program :
Pada 11 jun 2013 bersamaan hari selasa, kami telah tiba di
kampung Tanjung Gahai pada jam 11.40 pagi setelah 2 jam 30 minit perjalanan.
Kemudian, dari kawasan letak bas, kami menaiki kereta secara bergilir-gilir
untuk masuk ke dalam kampung tersebut disebabkan keadaan jalan yang kecil dan
tidak mengizinkan bas untuk masuk kedalamnya.
Kami berkumpul di masjid untuk
makan dan solat zohor sebelum diminta untuk berkumpul di balai raya pada jam
2.30 petang untuk sesi taklimat, majlis pembukaan serta sesi penyerahan anak
angkat kepada keluarga angkat masing-masing yang datangnya dari 3 kampung yang
berbeza iaitu kg. Tanjung Gahai, Agropolitan, Bertam.
Setelah itu, semua
dikehendaki pulang ke rumah keluarga angkat masing-masing dan berkumpul semula
pada waktu maghrib untuk solat berjemaah, tazkirah, solat isya’, seterusnya
taklimat program untuk keesokan harinya.
Pada hari kedua, kami dikehendaki
berkumpul di hadapan Balai Raya pada jam 8.30 pagi untuk aktiviti gotong royong setelah
sarapan dirumah keluarga angkat masing-masing. Sebelum bergerak ke tempat
gotong royong yang terletak di kampung sebelah, kami telah mendengar sedikit
taklimat dan nasihat dari abang Sabri yang merupakan salah seorang daripada
ahli jawatankuasa kampung tersebut.
Setelah itu kami bergerak ke tempat
gotong-royong yang terbahagi kepada dua tempat iaitu kawasan surau dan dewan
orang ramai yang terletak di kampung Agropolitan.
Pada jam 12.30 tengahari, kami pulang ke rumah
keluarga angkat masing-masing untuk makan tengahari, solat zohor dan berkumpul
semula di dewan pada jam 5.00 petang untuk aktiviti sukaneka bersama kanak-kanak
dan orang dewasa.
Sukaneka tamat pada jam 6.30 petang dan kami pulang ke rumah
keluarga angkat masing-masing untuk persiapan diri sebelum berkumpul semula di Masjid untuk solat berjemaah, tazkirah dan taklimat untuk program pada keesokan
harinya. Sementara itu, 8 orang daripada unit ‘Training and Module’ telah pergi
ke Sekolah Kebangsaan Tanjung Gahai untuk slot motivasi bersama pelajar-pelajar
asrama di sekolah tersebut. Pada jam 10.00 malam, kami pulang ke rumah keluarga
angkat masing-masing.
Pada hari
ketiga, kami telah mengikut keluarga angkat masing-masing bekerja pada waktu
pagi bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah serta menimba pengalaman baru.
Pada
jam 2.00 petang, kami dikehendaki berkumpul di Masjid untuk sesi pemberiaan
sumbangan kepada orang kampung yang terpilih. Kami telah dibahagikan kepada 5
kumpulan kerana pemberiaan sumbangan tersebut akan dijalankan di 5 buah kampung
yang berbeza iaitu, kg. Tanjung Gahai, Agropolitan, Bertam, Dusun Pak Senang
dan Koyan. Pemberiaan tersebut diberikan dari rumah ke rumah. Semasa sesi
pemberiaan sumbangan dijalankan, kami sempat mengadakan sedikit temu bual
bersama mereka yang menerima sumbangan
untuk mengetahui sumber ekonomi dan keadaan mereka selama mereka menetap selama
mereka menetap di kampung tersebut. Kebanyakan dari mereka menyatakan bahawa
sumber kewangan mereka bergantung kepada harga pasaran getah kerana di kawasan
tersebut kaya dengan ladang getah. Selain itu, bagi penduduk di kg Tanjung
Gahai, sumber air mereka adalah daripada gunung yang terletak kira-kira 8 km
dari kampung tersebut. Sekiranya berlaku aktiviti pembalakan, sumber air mereka
akan tercemar.
Sementara
pemberian sumbangan dijalankan, unit katering telah mengadakan rewang bersama
penduduk kampung bagi menyediakan juadah makan malam pada majlis penutup yang
akan berlangsung pada waktu malam.
Pada jam 5.00 petang, kami semua telah
diundang oleh JKKK Kampung Tanjung Gahai untuk menghadiri majlis bersama YB kawasan
tersebut.
Setelah itu kami pulang dan berkumpul semula pada jam 7.30, untuk
solat berjemaah dan bacaan yassin. Selepas menunaikan solat isya’, kami telah
mengadakan majlis penutup serta penyerahan kembali anak-anak angkat oleh
keluarga angkat masing-masing. Kemudian, semua tetamu dijamu dengan juadah
makan malam sebelum semuanya pulang kira-kira jam 11.00 malam.
Pada hari
keempat, kami semua diberikan ruang meluangkan masa bersama keluarga angkat
masing-masing dan kami dikehendaki berkumpul
di kawasan tempat letak bas sebelum pulang ke UIA pada jam 11.00 pagi. Sebelum
menaiki bas untuk pulang, sesi bersalam-salaman bersama semua ibu bapa angkat
dan sesi fotografi telah diadakan sebagai kenangan.