29/07/2012

Anugerah Seri Cemerlang



27 Julai 2012, bertempat di Dewan Merak KayanganBalai Felda, Kuala Lumpur, PERKIM Sekretariat UIAM Gombak, akhirnya menggondol satu anugerah  di Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Anugerah Sri Cemerlang. Anugerah ini merupakan satu bentuk penghargaan kepada kelab Perkim Universiti di seluruh Malaysia. Menariknya, kelab Perkim UIAM Gombak yang baru setahun beroperasi di UIAM berjaya menjulang anugerah Projek Terbaik 2012.


Pada malam yang sungguh bahagia itu, yang Dipertua PERKIM, iaitu Y. A. Bhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad berjaya menghadirkan dirinya selaku perasmi majlis. Beliau juga diberi mandat selaku penyampai anugerah berkenaan di samping menyampaikan pesanan dan amanat kepada semua ahli PERKIM Universiti yang hadir. Kata-kata Semangat dan motivasi yang diberikan berjaya menyemarakkan lagi usaha para da’ie daripada PERKIM dalam mengembangkan syiar islam.


Majlis bermula dari pukul 6.30 petang lagi di mana kehadiran seramai kira-kira 1000 orang yang terdiri daripada ahli PERKIM universiti dan barisan kakitangan PERKIM. Manakala UIAM Gombak menghantar 18 orang ahli mereka ke sana. Puan Martinelli Hashim, selaku Ketua Pusat Tanggungjawab Sosial Universiti (CENSERVE) hadir selaku wakil pegawai Universiti dan juga penasihat kepada Kelab PERKIM ini.

Kelab PERKIM UIAM Gombak berjaya membawa pulang wang sebanyak RM2,500 beserta trofi Projek Terbaik. Presidennya, iaitu saudara Ismat Arif Abu Hassan dengan bangganya menjulang trofi berkenaan di hadapan Tun Dr. Mahathir.

“Syukur Alhamdulillah, kami sendiri tidak menyangka bahawa kami, Kelab PERKIM UIAM Gombak berjaya mendapat anugerah seumpama ini. Kami baru setahun bersama UIAM dan CENSERVE, namun berkat kerjasama semua terutama daripada CENSERVE, kami mampu untuk melakukan sesuatu,” jelas Ismat dengan bangganya kepada penulis.

Menurutnya lagi, dengan anugerah ini Kelab PERKIM UIAM Gombak akan pasti lebih bermotivasi dalam menyampaikan dakwah Islamiyah kepada semua kumpulan sasaran mereka iaitu Orang Asli, golongan Muallaf dan golongan yang tidak berupaya.

Manakala anugerah-anuerah lain seperti Kelab PERKIM Harapan jatuh kepada UNIKL Melaka, anugerah Kepimpinan Terbaik milik Universiti Utara Malaysia (UUM), anugerah Kelab PERKIM Terbaik pula diungguli oleh KUIS dengan masing-masing membawa pulang wang sebanyak RM2,500 beserta trofi, kecuali KUIS yang membawa pulang wang sebanyak RM3,000 beserta trofi. Dengan pengiktirafan ini, maka ia sedikit sebanyak pasti menyemarakkan lagi semangat anak-anak muda dalam menyampaikan rsialah Islam kepada seluruh umat di tanah air.