26/09/2012

Explorace Kembara Menghayati Ciptaan ALLAH 2012

Oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan (pada) pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran. (al-Baqarah: 164)

Lantaran itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan dengan kerjasama Perkim Cawangan Bukit Damansara, Kelab-kelab Perkim dan Sahabat Perkim menganjurkan ‘Explorace: Kembara Menghayati Ciptaan Allah’ bertempat di Masjid Saidina Umar al-Khattab, Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 23 September 2012 lalu.
Penyelaras Program, Muhammad Farhan Tee Abdullah berkata, program itu diadakan untuk melahirkan rasa kesyukuran dalam setiap diri peserta terhadap ciptaan Allah SWT di samping mengeratkan ukhwah dan silaturahim sesama mereka.

“Selain itu, program itu mencorakkan konsep ‘Islam Itu Persaudaraan’ dengan melibatkan peserta daripada pelbagai kaum dan negara. Pertandingan itu berkonsepkan penjelajahan atau lebih dikenali sebagai explorace di mana setiap peserta kumpulan perlu menjawab soalan berkaitan agama dan melengkapkannya di keseluruhan hentian,” jelas Farhan.

“Seramai 90 peserta menyertai program itu terdiri daripada Saudara Muslim tempatan dan luar negara serta masyarakat setempat,” ulas beliau. Farhan yang juga Pegawai Dakwah dan Penyelidikan Perkim berkata, setiap kumpulan diwakili seramai lima orang ahli yang perlu melalui sepuluh hentian, di mana setiap hentian dibekalkan soalan fardu ain, fiqh, tauhid, sirah, akhlak dan sebagainya. Peserta juga dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori Saudara Muslim dan kategori umum.

Katanya lagi, peserta memerlukan kekuatan tenaga fizikal dan kecerdasan mental untuk menjelajah ke semua hentian yang jaraknya empat kilometer.
Pengarah Dakwah Perkim Kebangsaan, Hj. Abdul Hanif Harun sempat memberikan ucapan selepas sesi bergambar sebagai tanda penghargaan kepada peserta yang terlibat.
Selain itu, beliau turut melahirkan rasa bersyukur melalui kerjasama antara pihak-pihak yang terlibat secara langsung atau tidak bagi menjayakan program itu dan ianya diadakan untuk manfaat semua pihak semata-mata dalam mencari keredaan Allah SWT.

Peserta menjawab soalan sambil menikmati keindahan alam semulajadi di sekitar Bukit Damansara yang menghijau dan permai. Ada di antara mereka berkesempatan mengambil gambar di kawasan yang cantik dan menarik serta keunikan kediaman yang tersergam indah.

Peserta kemudiannya diberi santapan rohani disampaikan oleh finalis Imam Muda Astro Oasis, Ustaz Khairul Azhar Ghazali setelah mereka menyelesaikan tugasan di semua hentian. Beliau dalam ceramahnya berasa gembira kerana diberi peluang menyertai bersama Saudara Muslim, mahasiswa dan masyarakat setempat dalam penjelajahan kembara tersebut.

Jelas Azhar lagi, peserta haruslah tingkatkan ilmu tauhid dan jihad serta memperkasakan dengan melaksanakan seperti disyariatkan agar Islam tidak dihina dan ditindas oleh musuh-musuh Islam menerusi karikatur, gambar, blog serta filem. “Kebenaran al-Quran membuktikan bahawa terdapat sebelas planet di sistem solar angkasa lepas tetapi musuh-musuh Islam masih menyangkal dan tidak mempercayainya sehingga penemuan planet ke sepuluh pada tahun 2001,” jelasnya.

“Abu Hurairah r.a mengkhabarkan kepada Miqdad bahawa Rasulullah SAW memberitahu, sesiapa yang berfikir satu saat maka itu lebih baik daripada beribadat setahun. Ibnu Abbas pula mengkhabarkan kepada Miqdad bahawa Rasulullah SAW memberitahu sesiapa yang berfikir satu saat maka ia terlebih baik daripada beribadat tujuh puluh tahun,” kata Azhar. “Perkhabaran dua sahabat tersebut mengelirukan Miqdad lantas beliau menemui Rasulullah SAW dan meminta Abu Hurairah dan Ibnu Abbas memberi penjelasan. Abu Hurairah memikirkan tentang kejadian tujuh petala langit dan tujuh petala bumi manakala Ibnu Abbas memikirkan tentang kematian,” sambung beliau.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian hadiah berbentuk hamper dan pingat kepada pemenang disampaikan oleh Pengerusi Masjid Saidina Umar al-Khattab, Bukit Damansara, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Zainol Arif. Juara kategori Saudara Muslim dimenangi oleh Nor Azlin Abdullah daripada kumpulan Mutiara manakala juara kategori umum diraih oleh Jamil Omar daripada kumpulan al-Hijrah.

Dr. Zainol dalam ucapan perasmiannya menyeru peserta menuntut ilmu pengetahuan serta meningkatkan iman dan amal. Beliau mengajak peserta memotivasikan diri dengan menggunakan tiga konsep muka iaitu muka penutur, muka jam dan muka pintu manakala konsep PIE iaitu merancang, melaksana dan muhasabah serta bersyukur dengan deria anugerah ciptaan-Nya iaitu deria dengar, lihat, hidu, sentuh dan rasa.

Peserta dijamu makan tengahari dan menunaikan solat Zohor berjemaah selepas tamatnya program.


APA KATA MEREKA :


JAMIL OMAR, 46


Program yang bermanfaat yang mencergaskan fizikal sekali gus mencerdaskan minda dalam menikmati dan menghayati alam semulajadi serta menjawab soalan yang mengingatkan kembali kepada Allah Yang Maha Pencipta.


WAN NUR ARIFAH WAN TAIB, 24 
Program harus diadakan dengan kepelbagaian aktiviti dan soalan yang lebih mencabar untuk menarik minat masyarakat Islam khususnya Saudara Muslim dan mahasiswa agar masa yang terluang dipenuhi dengan aktiviti berfaedah.



MOHAMMAD IKRAM JAMAL, 15


Program itu secara tidak langsung bukan sahaja sebagai satu riadah yang sihat, bahkan program itu membawa kita melihat kebesaran Allah dalam meningkatkan ilmu agama melalui soalan di setiap hentian. Perkim harus mengadakan program seumpama ini seperti di hutan, kawasan berbukit atau sungai supaya menambahkan lagi keberkesanan dalam mengharungi rintangan dan cabaran.